
Sekitar tengah malam, warganegara Malaysia berusia 36 tahun itu yang tidak menemui keluarganya sejak Mac 2020, berjaya membuat tempahan dan beliau akan bersatu dengan isteri dan dua anaknya – berusia lima serta lapan tahun – di Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru.
Walaupun perjalanan rentas sempadan disambung semula Ogos tahun lalu dengan syarat ketat, The Straits Times melaporkan Tanapal, yang meraih kurang USD2,000 (RM6,160) sebulan, merasakan tidak masuk akal untuk beliau akibat ujian Covid-19 yang mahal dan tempoh lama kuarantin.
VTL darat, yang diumumkan Rabu lalu, membenarkan sehingga 1,440 warganegara, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang Singapura yang tinggal di Malaysia pulang ke republik itu melalui Tambak Johor setiap hari, jumlah sama juga dibenarkan untuk Malaysia.

Pengumuman itu menyaksikan sistem tempahan tiket dua syarikat perkhidmatan bas mengalami masalah pada hari pertama jualan.
Pada hari kedua, 1/3 tiket dari Singapura ke Johor Bahru untuk bulan depan habis dijual di laman web Transtar Travel, manakala portal Causeway Link turut menyaksikan keadaan sama untuk laluan sama selama seminggu.
Seorang pakar kecantikan yang hanya mahu dikenali sebagai Careyn berkata, beliau bergegas membeli tiket bas walaupun sudah menempah tiket penerbangan. VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA juga bermula esok.
“Selepas VTL udara diumumkan, saya segera membeli tiket dalam masa sejam jualan dibuka. Tetapi, memandangkan saya ialah orang Batu Pahat, sudah tentu lebih mudah untuk saya pulang melalui jalan darat.”
Wanita berusia 22 tahun itu yang tidak pulang ke kampung halaman sejak Ogos 2020, akan menggunakan tiket penerbangannya pada tarikh lain.
Walaupun bersyukur dengan kelonggaran sekatan sempadan, ada yang berharap syarat yang dikenakan tidak begitu membebankan.
Seorang penguat kuasa berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Stephanie, berkata beliau membeli tiket untuk dirinya dan anaknya berusia sebulan untuk disatukan dengan keluarganya di Malaysia.
Tetapi, warganegara Malaysia itu pada Jumaat mendapat tahu anaknya yang dilahirkan di Singapura tidak dapat pulang bersamanya kerana beliau bukan penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang di Malaysia.
Jurucakap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura memberitahu The Straits Times, pekerja yang terjejas akibat Covid-19 dan berpisah dengan keluarga mereka selama berbulan-bulan akan diberikan keutamaan pada peringkat permulaan.
“Ini juga membolehkan kami membuka semula dengan cara berwaspada dan ditentukur, untuk menguji dan menyelaras protokol serta bersiap sedia menghadapi jumlah pengembara lebih ramai pada masa depan,” kata mereka yang mendapati VTL darat akan membabitkan pengembara lain secara progresif.