PRN Sarawak: Datuk Bandar Miri diramal jadi calon GPS di Pujut

PRN Sarawak: Datuk Bandar Miri diramal jadi calon GPS di Pujut

Kawasan Dewan Undangan Negeri Pujut selama dua penggal dimenangi DAP.

Adam Yii adalah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Pujut. (Gambar Bernama)
MIRI:
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii dijangka diletakkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, 18 Dis ini.

Adam yang merupakan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Pujut, berkata sekiranya diberi peluang, beliau akan memberi khidmat baktinya kepada masyarakat dengan penuh dedikasi.

“Ada kemungkinan (untuk menjadi calon). Jadi kita perlu menunggu Pengerusi GPS (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk mengumumkan,” katanya kepada pemberita.

Mengulas situasi di DUN Pujut, Adam berkata, pada dua pilihan raya lepas, kerusi itu dimenangi DAP, sekali gus menunjukkan pengundi di sana cenderung untuk mengundi parti pembangkang itu.

“Namun waktu telah berubah, pelbagai isu telah ditimbulkan oleh calon DAP di kawasan itu, maka isunya juga berubah-ubah, kali ini kita akan lakukan yang terbaik jika diberikan peluang oleh rakyat,” katanya.

Adam sememangnya sudah dikenali dalam kalangan hampir 30,000 pengundi majoriti Cina di sini, dan disifatkan calon paling sesuai ditampilkan GPS.

SUPP juga memiliki jentera akar umbi yang lebih baik di Pujut, di mana mereka mempunyai kira-kira 5,000 ahli berdaftar.

Pada PRN11 Sarawak, calon SUPP Hii King Chiong kalah di DUN Pujut kepada calon DAP Dr Ting Tiong Choon, dengan majoriti 1,759 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.