
Sebelum ini, pengeluar peralatan rumah British, Dyson memberitahu Reuters, ia akan menamatkan kontrak dengan ATA susulan audit terhadap amalan buruh syarikat itu dan dakwaan seorang pemberi maklumat.
Khamis lalu, bekas pekerja ATA, Dhan Kumar Limbu memberitahu Reuters, pegawai syarikat itu membawanya ke sebuah balai polis Jun lalu.
Katanya, beliau disoal siasat berhubung perkongsian maklumat mengenai keadaan dalam kilang itu dengan aktivis dan kemudian dipukul anggota polis.
Polis Johor, di mana kilang ATA terletak, berkata mereka tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.
“Polis Johor mengambil maklum tentang isu yang dilaporkan dan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud apa yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
ATA pada Jumaat berkata, ia sudah melantik perunding untuk meneliti penemuan buruh paksa dalam ringkasan audit yang diterima daripada Dyson dan dakwaan penderaan fizikal yang disuarakan seorang bekas pekerjanya.
Katanya, ia telah melantik firma guaman di Malaysia untuk menjalankan semakan bebas terhadap dakwaan penderaan fizikal oleh bekas pekerja itu dan laporan terperinci akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Menteri Sumber Manusia berkata, kementeriannya akan menyiasat keputusan Dyson memutuskan hubungan dengan ATA IMS.
Dalam wawancara dengan Reuters, tujuh pekerja dan bekas pekerja ATA mendakwa mereka bekerja lebih masa melebihi had yang ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.
Mereka turut mendakwa membayar yuran pengambilan di negara asal kepada broker buruh, amalan yang dikritik aktivis sebagai satu bentuk ikatan hutang.
Dyson menyumbang kira-kira 80% kepada pendapatan ATA. Saham dalam ATA, yang menghasilkan bahagian pembersih vakum dan pembersih udara Dyson, merudum 55% sejak laporan Reuters dikeluarkan.