Pengganti Rafiq akan diumum dalam masa terdekat, kata Muhyiddin

Pengganti Rafiq akan diumum dalam masa terdekat, kata Muhyiddin

Pengerusi PN berkata pengumuman itu turut melibatkan rombakan dalam kepimpinan Bersatu Melaka.

Muhyiddin Yassin berkata, tindakan dibuat Mohd Rafiq Naizamohideen adalah langkah terhormat susulan keputusan PRN Melaka.
PETALING JAYA:
Pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletakkan jawatan semalam akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, pengumuman itu turut melibatkan rombakan dalam kepimpinan Bersatu Melaka.

“Nanti saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti atau pun rombakan lain dalam tempoh beberapa hari ke hadapan.

“Tindakan diambil oleh Rafiq ini sebagai langkah terhormat selain memudahkan rombakan badan pimpinan Bersatu negeri dapat dibuat susulan pasca pilihan raya negeri (PRN) Melaka,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu mengumumkan peletakan kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa pada Jumaat.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, keputusan tersebut bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai PN dan Bersatu Melaka supaya mempunyai masa yang cukup membuat segala persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Rafiq berkata, langkah tersebut juga membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU15.

Beliau sebelum itu antara empat pengerusi parti yang tewas dalam PRN Melaka kepada calon Barisan Nasional (BN), Abdul Razak Abdul Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.