
Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi sebelum ini menetapkan jumlah kos haji sebanyak RM23,000 dan peningkatan itu boleh mencecah sehingga RM30,000.
Marzuk berkata, kenaikan itu secara dasarnya disebabkan oleh peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) di Arab Saudi daripada 5% kepada 15% tahun depan.
“Selain itu, perubahan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi semasa pandemik Covid-19 juga menyumbang kepada peningkatan kos haji.
“Sebagai contoh, jemaah haji ditempatkan di hotel mereka seramai enam orang sebilik sebelum ini dan apabila SOP baharu itu diperkenalkan, hanya dua orang jemaah sahaja dibenarkan tinggal sebilik. Bagaimanapun, sebarang perubahan mengenai kos haji akan diumumkan semula kelak,” katanya menurut laporan Kosmo.
Marzuk bagaimanapun meminta semua pihak bertenang mengenai perkara ini kerana Tabung Haji (TH) akan cuba untuk terus membantu menanggung sebahagian kos jemaah selepas ini.
Katanya, kerajaan masih belum dapat memberi keputusan mengenai jumlah sebenar tanggungan yang bakal dibantu TH sekiranya kos haji meningkat.
“Kerajaan tidak pernah menaikkan kadar kos haji sejak 2001. Dalam tempoh itu, TH mengekalkan kos menunaikan haji sebanyak RM9,980 meskipun jumlah sebenar yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah RM23,000,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Marzuk berkata, kerajaan masih belum mendapat sebarang makluman mengenai kuota jemaah haji daripada Arab Saudi tahun depan.
Katanya, bagaimanapun, kerajaan tetap akur dengan arahan yang diputuskan oleh Arab Saudi sekiranya kuota jemaah dikurangkan berbanding kuota sedia ada iaitu seramai 30,000 orang.