
Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, perjanjian itu juga berbeza dari peruntukan untuk hak bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mengikut peruntukan CPTPP, agenda bumiputera akan dikawal selia dan terhad. Peruntukan untuk melindungi hak-hak bumiputera di dalam Annex II ‘Non-Conforming Measures’ (NCM) di bawah Perjanjian CPTPP tidak menyeluruh dan hanya terpakai ke atas beberapa peruntukan substantif berkenaan pelaburan dan sektor perkhidmatan.
“… sebagai contoh, tiada pengecualian terhadap peruntukan FET (fair and equitable treatment atau layanan adil dan saksama) dan expropriation (perampasan) di dalam CPTPP. Kedua-dua FET dan expropriation boleh digunakan untuk mencabar dasar-dasar tindakan afirmatif termasuk yang diperuntukkan untuk kaum bumiputera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Malaysia telah menggunakan pelbagai dasar untuk pembangunan ekonomi dan keseimbangan sosial, termasuklah memilih penggunaan barangan dan syarikat tempatan dalam perolehan kerajaan, menggunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Petronas untuk meningkatkan penglibatan vendor tempatan, menyeimbangkan keseluruhan pemilikan tempatan dan asing, tindakan afirmatif untuk Bumiputera, dan dasar berkaitan pembangunan industri.
Katanya, oleh kerana Bahagian Pelaburan perjanjian CPTPP meliberalisasikan pasaran, syarat 30% ekuiti bumiputera hanya dibenarkan di dalam sektor yang tersenarai sahaja.
“Jika tidak dikecualikan, GLC-GLC tertentu tidak boleh dibantu oleh kerajaan dari segi pinjaman, jaminan dan ekuiti. GLC-GLC tersebut juga dilarang untuk memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan Bumiputera dalam perolehan mereka sekaligus menggagalkan peranan sosio-ekonominya.
“Perniagaan perolehan GLC sangat besar. Lebih besar daripada kerajaan persekutuan. CPTPP secara amnya akan menyekat keutamaan kepada syarikat Bumiputera, PKS (SME) dan firma Sabah/Sarawak yang digabungkan menjadi 40% daripada jumlah nilai perolehan GLC (kecuali Mara, Teraju, EKUINAS, FELDA, PNB dan Lembaga Tabung Haji).
“Sehingga 2014, Petronas memberikan 70% daripada nilai perolehan kepada syarikat Bumiputera, menurut kajian PWC untuk MITI,” katanya.
Katanya, walaupun terdapat beberapa pengecualian, pengecualian ia adalah spesifik dan bukan menyeluruh, malah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali tidak menyebut secara mendalam kesan liberalisasi kepada perolehan kerajaan.
“Pada masa ini Malaysia boleh memilih untuk mengarahkan 100% kontrak pembinaannya kepada Bumiputera, manakala CPTPP mengurangkan ini kepada 30%.
“CPTPP akan mengganggu dan membantutkan dasar Malaysia berkenaan isu-isu diluar perdagangan seperti pelaburan, perolehan kerajaan, GLC, tindakan afirmatif untuk Bumiputera, dan lain-lain.
“Ia akan menyebabkan pembuat dan pelaksana dasar (kerajaan) kehilangan ruang pembuatan polisi dengan kata lain kebebasan untuk membuat, mengemaskini dan melaksanakan dasar, undang-undang dan tindakan luar keterikatan dengan CPTPP,” katanya.