
Jahidah, 43, yang dijaga sepenuhnya oleh adiknya, Fauziah, 40, menunjukkan perkembangan positif dan bayi dalam kandungannya membesar dengan baik.
Katanya, Jahidah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sejak 22 Nov dan keluarganya tidak dibenarkan melawat disebabkan prosedur yang sangat ketat.
Beliau berkata, doktor memaklumkan bahawa kakaknya akan berdepan pelbagai komplikasi dan pembedahan bersalin itu yang berisiko tinggi serta boleh membawa kematian akan turut diawasi oleh Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Ini disebabkan keadaan kakak yang tidak boleh memberi respons dan juga ‘base line’ (otaknya) memang sudah rosak, ada pendarahan.
“Semasa pembedahan nanti, Jahidah akan dibius penuh dan peluang untuk sedar semula agak berisiko tinggi kerana keadaan otaknya, namun doktor akan terus mengawasi tahap oksigen kakak,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Fauziah berkata, antara komplikasi yang mungkin dialami kakaknya ialah kesukaran pernafasan, pendarahan, jangkitan kuman, jantung terhenti dan kematian.
Beliau dalam nada hiba mengharapkan yang terbaik untuk kakaknya dan bayi lelaki yang bakal dilahirkan minggu depan.
Pada 4 Mei lalu, Jahidah koma kerana cedera parah di kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya di rumah mereka di Larkin, Johor.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga serta nasihat hospital.
Wanita yang tidak sedarkan diri itu dibenarkan pulang ke rumah keluarganya di Sungai Udang, Melaka pada 30 Mei lalu, selepas dirawat di hospital selama 27 hari.
Jun lalu, media melaporkan polis mendapat perintah reman ke atas suspek berusia 38 tahun itu selama enam hari sehingga 17 Jun lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Pada 17 Jun lalu, media melaporkan Rosmaini Abd Raof, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memukul Jahidah sehingga koma awal Mei lalu. Dia sebelum itu ditahan di Kuala Lumpur dan direman enam hari.