Pelajar 13 tahun nyaris diculik

Pelajar 13 tahun nyaris diculik

Mangsa diheret masuk kereta oleh pemandu lelaki yang menggunakan helah mahukan bantuannya menghantar borang.

Kejadian berlaku ketika mangsa baru turun dari van di hadapan sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar berjaya melepaskan diri selepas dilarikan lelaki tidak dikenali sejauh 400m di hadapan sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya, Johor, pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 6.50 pagi ketika pelajar berusia 13 tahun itu baru turun dari van menuju ke sekolah apabila didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua Kancil.

Lelaki itu memanggil mangsa dan meminta bantuan mangsa untuk menghantar satu borang, menurut laporan Sinar Harian.

Secara tiba-tiba, suspek bertindak menarik mangsa ke dalam kereta selepas remaja itu enggan menuruti permintaannya.

Mangsa kemudian dibawa lari di sekitar Taman Molek sebelum berjaya melepaskan diri.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang tular di media sosial.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas pelajar perempuan itu sedang berjalan ke sekolah.

“Selepas berjaya menyelamatkan diri keluar kereta dipandu suspek, mangsa segera meminta bantuan orang awam menyelamatkannya.

“Dalam kejadian ini, mangsa tidak cedera dan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.