
Perkara itu disahkan oleh Abang Johari semasa memulakan ucapan pada majlis perasmian projek Bekalan Air Luar Bandar di sini apabila beliau secara spontan menyebut nama Dennis.
“Confirm ‘you’ (Dennis) akan jadi calon (GPS untuk Telang Usan),” kata beliau dan pengumuman itu mendapat sorakan persetujuan daripada penduduk Rumah Panjang Ridap Sungai Pasir.
Abang Johari berkata atas kerjasama yang diberikan daripada pasukannya di sini, GPS di bawah kepimpinannya mampu membawa kemajuan di Sarawak, khususnya di kawasan Marudi dengan pelbagai projek pembangunan yang teratur dan baik yang telah dilaksanakan.
Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa penyandang DUN Mulu iaitu Gerawat Gala akan mempertahan kerusi itu dalam PRN Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Dis ini.
Semalam, beliau turut mengumumkan bahawa lima penyandang DUN iaitu bagi kawasan Bekenu, Lambir, Piasau, Senadin dan Marudi akan mempertahan kerusi mereka kerana telah bekerja kuat sewaktu berkhidmat di kawasan masing-masing.
Mereka ialah Rosey Yunus, Ripin Lamat, Sebastian Ting, Seri Lee Kim Shin dan Dr Penguang Manggil.
Dennis pula berkata beliau akan melakukan yang terbaik dan menggalas tanggungjawab itu dengan penuh amanah.
“Saya yakin Presiden GPS mempunyai cara penilaiannya sendiri untuk memilih calon dalam PRN Sarawak ini. Saya berjanji akan memastikan kemenangan berpihak kepada kami,” katanya kepada Bernama.