Kluster baharu di Sabah babitkan jangkitan di tempat kerja, kata Masidi

Kluster baharu di Sabah babitkan jangkitan di tempat kerja, kata Masidi

Katanya, Kluster Sawit Biru membabitkan seorang pekerja pembersihan dan setakat ini, 14 orang disahkan positif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, 500 daripada 513 pesakit yang dicatatkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.
KOTA KINABALU:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu yang dicatatkan di Sabah hari ini, iaitu kluster Sawit Biru membabitkan jangkitan di tempat kerja.

Katanya, kluster berkenaan membabitkan seorang pekerja pembersihan dan setakat ini 14 orang disahkan positif.

Sementara itu, Masidi berkata, 513 lagi kes baharu dicatatkan di Sabah hari ini, iaitu penurunan sebanyak 109 kes berbanding semalam.

“Empat daerah yang menjadi penyumbang tinggi kes di Sabah setiap hari, iaitu Kota Kinabalu, Ranau, Tuaran, dan Kota Belud mencatat penurunan yang agak banyak hari ini.

“Kota Kinabalu turun 37 kes berbanding jumlah semalam; Ranau turun 14 kes; Tuaran turun 31 kes; dan Kota Belud turun 10 kes.

“Bagaimanapun empat daerah ini kekal penyumbang tertinggi kes harian di Sabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, 500 daripada 513 pesakit yang dicatatkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Selain itu katanya, hanya dua orang masing-masing dalam Kategori 3, 4 dan 5.

“Sementara itu, seramai tujuh pesakit lagi masih dalam penilaian JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.