3.8kg dadah dalam bilik asrama, bekas pelajar Bangladesh terlepas tali gantung

3.8kg dadah dalam bilik asrama, bekas pelajar Bangladesh terlepas tali gantung

Mahkamah Rayuan memutuskan pendakwaan gagal membuktikan bekas pelajar kejuruteraan universiti swasta itu mengetahui beg dalam biliknya mengandungi dadah.

Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf apabila tidak menerima bukti bahawa beg mengandungi dadah itu adalah milik pelajar lain yang kemudian membunuh diri.
PUTRAJAYA:
Seorang warga Bangladesh yang juga bekas pelajar sebuah universiti swasta terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitannya kerana mengedar 3.8kg kanabis.

Panel tiga hakim diketuai Hanipah Farikullah memutuskan wujud merit dalam rayuan dikemukakan bekas pelajar kejuruteraan, Mohammad Habibul Hassan Khan, 26, walaupun beg mengandungi dadah berkenaan ditemui di bilik asramanya.

“Pendakwaan gagal membuktikan elemen pengetahuan (oleh tertuduh mengenai dadah yang ditemui dalam bilik itu,” katanya yang bersidang bersama Che Mohd Ruzima Ghazali dan Mariana Yahya.

Hanipah berkata, Habibul turut mengemukakan dari awal pembelaannya bahawa beg itu milik pelajar lain bernama Jawad.

Jawad, yang tinggal di luar kampus Universiti Nottingham di Semenyih, membunuh diri sehari selepas Habibul ditangkap dengan beg berkenaan.

Bagaimanapun, Hanipah berkata, hakim perbicaraan tidak menerima bukti berkenaan sebaliknya menganggapnya penafian semata-mata selain merupakan perkara yang difikirkan kemudian.

“Hakim perbicaraan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang,” katanya.

Hanipah berkata, pengakuan Habibul kepada warden asrama Shazereen Kamaruddin tidak boleh diterima kerana hakim perbicaraan tidak mengajukan soalan sewajarnya berhubung perkara itu.

Terdahulu, peguam Hisham Teh Poh Teik yang dibantu N Sivananthan dan Nabilah Habib berhujah bahawa keterangan Shazereen berhubung pengakuan Habibul itu tidak selaras dengan keterangan saksi pendakwaan yang lain.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid berkata, terdapat bukti jelas bahawa Habibul mempunyai milikan, kawalan dan pengetahuan mengenai dadah yang diberikan kepada Jawad.

Bagaimanapun, Habibul dikatakan mengakui kepada Shazereen bahawa dia membeli dadah itu di Kuala Lumpur untuk dijual bagi menampung yuran asrama disebabkan keluarganya mengalami masalah kewangan.

Pihak berkuasa universiti mengesyaki Habibul menyimpan dadah itu dalam biliknya. Susulan itu, Shazereen dan beberapa rakan kerja telah membuat pemeriksaan sebelum menemui beg mengandungi dadah itu.

Habibul dikatakan kemudian membuat pengakuan sebelum diserahkan kepada polis. Kejadian itu didakwa berlaku di Dewan Tioman universiti berkenaan, pada jam 11 malam, 10 Disember 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.