
Buat permulaan, kedua-dua negara bersetuju menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara, dengan peningkatan mengikut minggu.
“Pada masa ini, VTL darat akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.
PMO berkata, perkhidmatan bas VTL darat yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia, manakala Terminal Queen Street (QST) bagi republik itu.
Menurutnya, hanya pengembara yang merupakan warganegara, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang kedua-dua negara dibenarkan menyertai VTL darat.
Katanya, pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan kanak-kanak di bawah 12 tahun yang tidak divaksinasi perlu ditemani ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksin.
“VTL darat juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura yang telah terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula.
“Inisiatif VTL darat dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.”
Katanya, pengembara yang layak tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan negara masing-masing.
Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL darat perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara ke Singapura perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.
PMO berkata, pendaftaran itu wajib dilakukan sebelum sebarang pembelian tiket.
Butiran tentang keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.