
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata, ia antara beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan pada PRN-12 Sarawak itu.
“Tempoh pengundian pada PRN bermula pada 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding bermula 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh penting PRN Sarawak, selepas mesyuarat khas SPR, di Kuching, Sarawak, hari ini.
Abdul Ghani berkata, pihaknya turut menyasarkan sebanyak 70% daripada 1.2 juta pengundi akan keluar mengundi pada PRN Sarawak.
“Justeru, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.
Menurutnya, antara penambahbaikan lain yang dilaksanakan ialah memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang dilaksanakan sebelum ini.
“Syarat yang dimansuhkan itu ialah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun selain Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
“Turut dimansuhkan ialah syarat pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran DUN berkuatkuasa,” katanya.