
KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan DiGi.Com Bhd (Digi) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom) diterima secara rasmi dan kini menunggu kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat telekomunikasi itu berkata, Digi telah mengadakan perbincangan dengan SKMM bagi memulakan proses penilaian penggabungan, selaras garis panduan suruhanjaya itu mengenai penggabungan dan pengambilalihan.
“Permohonan penggabungan itu telah diterima secara rasmi oleh SKMM untuk penilaiannya mengikut garis panduan tersebut,” kata Digi.
Syarikat telekomunikasi itu juga berkata, penyelesaian cadangan penggabungan itu, antara lainnya, akan tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta pemegang saham Axiata dan Digi.