
Panel tiga hakim yang bersidang diketuai Has Zanah Mehat berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu walaupun kebenaran diberikan kepada pemohon.
“Ia adalah sia-sia kerana mahkamah dilarang mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat dan ordinan di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan,” kata Has Zanah yang menyampaikan alasan keputusan itu.
Dua lagi hakim ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim.
Has Zanah berkata, ketiga-tiga hakim yang sebelum ini menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman, tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi undang-undang.
Beliau berkata, bidang kuasa mahkamah diberikan oleh undang-undang dan bukan berdasarkan pandangan pemikir politik.
“Bidang kuasa mahkamah hanya diberikan oleh undang-undang, kecuali persoalan mengenai kuasa yang ada padanya,” katanya.
Katanya, Perkara 150(8) dan (9) menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat serta Parlimen telah mengecualikan permohonan semakan kehakiman mengenai perkara itu.
“Ini menghalang mahkamah daripada mendengar sebarang cabaran undang-undang terhadap pengisytiharan darurat dan ordinan,” katanya sambil menambah bahawa pindaan perlembagaan pada 1981 untuk memasukkan Fasal 8 adalah sah.
Has Zanah berkata, perkataan dalam Fasal 8 adalah sangat jelas untuk melindungi keseluruhan proses penelitian kehakiman atas sebarang alasan.
“Pindaan itu sah dan boleh dikuatkuasakan kerana proses pindaan perlembagaan telah diikuti, termasuk mendapatkan sokongan dua pertiga daripada Ahli Parlimen,” katanya sambil menjelaskan perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan mahkamah terikat dengan peruntukannya yang jelas dan nyata.
Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim memfailkan permohonan secara berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Sallahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai), Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi (Perak) Abdul Aziz Bari memfailkan permohonan itu secara bersama di Kuala Lumpur.
Mereka berkata, nasihat diberikan oleh Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong adalah melanggar undang-undang dan tertakluk kepada cabaran undang-undang.
Menurut Anwar, pentadbiran Muhyiddin boleh menggunakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit untuk memerangi wabak Covid-19, bukannya Ordinan Darurat.
Mereka yang lain juga mencabar pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).