
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata malah kenyataan Zeti dan Nor Mohamed telah direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam hantaran di Facebook, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai dwi standard terhadap pembekuan akaun yang menerima dana berkaitan 1MDB.
Beliau menyoal sama ada akaun ahli keluarga Zeti telah dibekukan.
Puad juga menyoal sama ada pihak berkuasa menyiasat Nor Mohamed kerana beliau telah meluluskan penubuhan SRC serta pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Jumaat lalu, SPRM mendedahkan bahawa aset dan dana berkaitan 1MDB berjumlah RM20.5 bilion telah diperoleh semula setakat ini.
Ini termasuk pemulangan aset berjumlah USD15.4 juta (RM64.4 juta) melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, dikatakan milik Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.
Tawfiq adalah suami Zeti yang juga saksi perbicaraan rasuah terhadap Najib dalam tuduhan berkaitan 1MDB.
“Kerajaan hanya tahu pada tahun 2019 kes yang libatkan suami Zeti. Dari segi keadilan kenapa maklumat penting ini tidak diberikan kepada peguam Najib semasa perbicaraan kes SRC dulu?” soal Puad.