Ingkar arahan Timbalan Speaker supaya diam, Rayer diarah keluar Dewan 20 minit

Ingkar arahan Timbalan Speaker supaya diam, Rayer diarah keluar Dewan 20 minit

Ahli Parlimen Jelutong itu menuntut penjelasan mengapa Najib Razak dibenarkan melawat Singapura walaupun berdepan tuntutan cukai.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer enggan membenarkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz meneruskan ucapannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar dari Dewan Rakyat hari ini kerana tidak mengendahkan arahan Timbalan Speaker Rashid Hasnon.

Perdebatan hangat tercetus apabila Rayer bertanya kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengapa bekas Perdana Menteri Najib Razak dibenarkan ke Singapura walaupun tidak menjelaskan cukainya.

Beliau berkata, malah peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut disenarai hitam dan tidak dibenarkan keluar negara jika tidak menjelaskan pinjaman.

“Saya nak tanya kenapa Pekan (Najib) diberi kelonggaran untuk ke Singapura.

“Jika kita berhutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kita tidak dibenarkan keluar (negara), kita disenaraihitamkan,” katanya ketika Tengku Zafrul menggulung perbahasan kementeriannya mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Rayer bertanya sebab mengapa tidak menyenaraihitamkan Najib. “Saya bertanya bagi pihak pembayar cukai,” katanya.

Tengku Zafrul menjawab bahawa itu adalah keputusan mahkamah.

Pada Oktober, Mahkamah Rayuan meluluskan permohonan Najib untuk memulangkan sementara pasportnya bagi membolehkannya ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang baru bersalin.

Apabila Rayer terus mendesak untuk mendapatkan penjelasan, Rashid memintanya untuk membenarkan Tengku Zafrul meneruskan ucapannya “seperti yang telah dijawabnya”.

Tetapi Rayer berkeras dan kemudian diarahkan keluar Dewan selama 20 minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.