
Presiden persatuan itu, Wong Keng Fatt berkata, punca kenaikan harga ialah peralihan Monsun Timur Laut.
Katanya, ia menyebabkan berlakunya bencana banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands dan kawasan tanaman sayur sekitarnya yang menjejaskan hasil dan bekalan.
Harga beberapa jenis sayur seperti kubis bunga, kacang panjang serta cili mengalami peningkatan sehingga 200% sejak dua minggu lalu.
Wong berkata, kenaikan itu juga disebabkan oleh kekurangan bekalan dan tenaga kerja.
“Pemulihan ekonomi yang perlahan menyebabkan kita sukar membawa masuk pekerja asing,” katanya.
Menurutnya, pembekal di Cameron Highlands juga telah memaklumkan mengenai beberapa masalah yang dihadapi seperti bencana banjir, tanah runtuh dan kekurangan tenaga kerja.
Manakala Presiden Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chai Kok Lim berkata, sekatan global akibat pandemik Covid-19 memberi kesan teruk terhadap bekalan sayur-sayuran.
“Harga ini amat dipengaruhi oleh permintaan dan bekalan,” katanya.
“Sayur seperti cili agak mahal kerana ia bermusim dan bergantung kepada faktor import.”
Katanya, kos pengangkutan juga meningkat, menyebabkan pembekal tiada pilihan kecuali menaikkan harga barang.
Isu kenaikan harga sayur-sayuran dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini. Ia menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyiasat perkara itu kerana dikhuatiri pembekal melanggar Akta Anti-Percatutan.