
Mahkamah Persekutuan dalam prosiding dalam talian hari ini menolak permohonan Alvin Goh Leong Yeong untuk menyemak keputusan awal tahun ini berhubung permohonan habeas corpus untuk dibebaskan.
“Bagaimanapun, mahkamah masih belum memberi alasan penolakan itu,” kata peguamnya, Jacky Loi.
Selain Loi, Goh diwakili peguam Gopal Sri Ram dan Gobind Singh Deo, manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN).
November tahun lepas, Lembaga Pencegahan Jenayah, agensi bawah KDN, mengeluarkan perintah tahanan dua tahun bawah POCA terhadap Goh, serta seorang lagi ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah dan dua pegawai polis atas dakwaan terbabit dengan sindiket judi dalam talian.
Zaidi, yang lebih dikenali sebagai Addy Kana, dan dua pegawai polis itu memenangi rayuan untuk mencabar penahanan mereka di Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.
Mahkamah memutuskan bahawa penahanan itu dilakukan dengan niat jahat.
Sementara itu, Goh dan adiknya, Yeong Hui, didakwa atas tujuh tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.14 juta.
Mereka didakwa menerima hasil daripada kegiatan menyalahi undang-undang oleh dua warga China, Wang Hangang dan Feng Chuang, antara 9 Sept dan 11 Nov 2019.