
Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang berkata, trend penularan kini dipantau dalam tempoh 14 hari selepas PRN itu dan pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi gelombang baharu.
“Kerajaan sememangnya sedar mengenai kemungkinan ia berlaku berdasarkan pengalaman daripada PRN Sabah. Kita juga khuatir dengan PRN Melaka dan sebab itu SOP ketat dilaksanakan termasuk larangan kempen secara besar-besaran.
“Benar, kes jangkitan akan dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi selepas PRN Melaka. Kita sedang pantau keadaan ini dan kerajaan tahu dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan gelombang keempat. Ini yang kita amat khuatir, terutama apabila PRN Sarawak juga akan diadakan.
“Kita perlu melaksanakan SOP ketat untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang meminta kerajaan menjelaskan perancangan bagi menghadapi jangkaan peningkatan mendadak kes Covid-19.
Kelvin berkata, ini terutamanya apabila pakar menjangkakan ia akan berlaku pada Disember dengan mengambil kira trend peningkatan termasuk di Lembah Klang serta kesan penularan selepas PRN Melaka.