
Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan banduan yang dibebaskan dilengkapi dengan kemahiran mencukupi sebelum mereka kembali ke dalam komuniti.
“Antara yang diperkenalkan adalah Program Jalinan Kasih, iaitu salah satu inisiatif Jabatan Penjara untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan di antara penghuni dan keluarga agar mereka tidak berasa tersisih bukan sahaja sewaktu sedang menjalani hukuman dan pemulihan di dalam penjara bahkan setelah dibebaskan kelak.
“Pelaksanaan program ini adalah secara bersemuka dan fizikal di antara banduan dan ahli keluarga bagi meningkatkan hubungan silaturahim dan penerapan emosi antara mereka.
“Di samping mencetuskan keinsafan dalam diri, banduan berkenaan diberi peluang untuk memohon maaf daripada keluarga masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertayaaan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta KDN menyatakan jumlah banduan yang keluar dari penjara selepas tamat hukuman dari tahun 2011 sehingga 2021 serta usaha kerajaan memastikan banduan diterima oleh keluarga dan masyarakat.
Ismail berkata, selain itu Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) juga diberikan kepada banduan yang memenuhi syarat ditetapkan mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan 111 Peraturan-peraturan Penjara 2000.
“Melalui PBSL, seseorang banduan dapat mencari peluang pekerjaan di samping berusaha menjalinkan hubungan kekeluargaan semula,
“Selain itu Banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP) juga diperkenal bertujuan memberi pendedahan awal kepada banduan yang diluluskan melalui Program Pembangunan Insan (PPI), khususnya banduan hukuman lama.
“Program ini adalah satu kaedah pengintegrasian ke dalam masyarakat sebelum mereka dibebaskan sepenuhnya di samping memulihkan kepercayaan terhadap diri dan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, KDN melalui Jabatan Penjara juga telah melaksanakan banyak program latihan kemahiran dan pemulihan untuk banduan sama ada di dalam mahupun di luar penjara agar mereka mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi.