
Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nadia Mohd Kamal.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam hadir bagi pihak pendakwaan, manakala peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili bekas Perdana Menteri itu pada prosiding tersebut.
Perkara itu disahkan Mohamad Mustaffa ketika dihubungi media.
Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen membabitkan bank pelaburan Amerika Syarikat, iaitu Goldman Sachs, keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.
Pada 24 Mac lepas, Najib, 68, memfailkan perintah mahkamah bagi memaksa pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low serta ahli keluarga Zeti dalam kes 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kedua pada 7 April lepas untuk mendapatkan persetujuan penyelesaian sulit antara kerajaan dan Kumpulan Goldman Sachs yang ditandatangani pada 2020 serta transkrip atau laporan forensik telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan kes di hadapan Sequerah dijadualkan bersambung 13 Dis depan.