Kawal harga tak selesai masalah, kata Najib susulan harga ayam, telur naik

Kawal harga tak selesai masalah, kata Najib susulan harga ayam, telur naik

Bekas Perdana Menteri itu bimbang dengan kenaikan berterusan harga ayam dan telur yang sudah mencecah paras paling tinggi dalam sejarah.

Kenaikan berterusan harga ayam dan telur dibimbangi kerana mencecah paras paling tinggi dalam sejarah.
PETALING JAYA:
Kaedah kerajaan mengawal harga menggunakan Akta Kawalan Harga atau import dari negara jiran adalah cara lapuk yang tidak menyelesaikan masalah, kata bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Katanya, beliau bimbang terhadap kenaikan berterusan harga ayam dan telur yang sudah mencecah paras paling tinggi dalam sejarah.

Beliau turut mengulangi cara penyelesaian yang diharapkan dilaksanakan oleh kerajaan serta merta, iaitu dengan mengatasi masalah kos dedak yang melambung naik serta kekurangan pekerja di ladang disebabkan kerajaan menghentikan pengambilan pekerja asing bagi industri berkenaan.

“Jika kita tidak menyelesaikan kedua-dua masalah ini maka harga ayam dan telur hanya akan terus menaik.

“Memang benar bahawa dedak merupakan antara bahagian kos terbesar bagi harga ayam dan memang kenaikan harga soya dan jagung menyumbang kepada harga dedak,” katanya di Facebook.

Najib berkata, bukan sahaja harga soya dan jagung meningkat, tetapi harga kebanyakan komoditi pertanian dunia juga naik termasuk harga sawit akibat kekurangan stok setelah pengeluaran tergendala pada tahun lepas ketika seluruh dunia membuat sekatan susulan wabak Covid-19.

“Namun, Malaysia ada pilihan. Kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu mengenakan cukai durian runtuh sebanyak 3% apabila harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan.

“Apabila harga sawit mula melepasi RM3,000 satu tan pada akhir tahun lepas, kerajaan PN (Perikatan Nasional) sudah menjangka untuk mengutip cukai durian runtuh sebanyak RM500 juta,” kata beliau.

Tambahnya, kini harga sawit sudah melebihi RM4,300, maka hasil daripada cukai durian runtuh itu akan lebih besar.

“Maka hasil daripada cukai durian runtuh ini boleh digunakan untuk memberi subsidi dedak ayam untuk menurunkan semula harga ayam selagi harga komoditi tinggi dan selagi ekonomi pendapatan dan kadar pengangguran belum memulih.

“Subsidi gaji daripada hasil cukai durian runtuh ini juga boleh digunakan bagi pekerja industri ternakan tempatan sekiranya kerajaan masih tidak membenarkan pengambilan pekerja asing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.