
Katanya, kekalahan itu dianggap sebagai adat resam percaturan politik.
“Kalah menang adat pertandingan. Khidmat kepada masyarakat tetap diteruskan. Amanah yang ada tetap perlu dilaksanakan,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka semalam, beliau yang juga calon Ketua Menteri PN, memperoleh 3,195 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Rauf Yusoh (3,558).
Mas Ermieyati turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan PRN Melaka.
“Terima kasih kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petugas keselamatan dan semua yang menjayakan PRN Melaka pada kali ini secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Semalam, BN memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Melaka, dan ini membolehkannya membentuk kerajaan negeri.
Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon daripada PKR, DAP dan Amanah hanya menang lima kerusi, manakala calon-calon Bersatu, PAS, dan Gerakan daripada Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.