
Lembaga Perwakilan Penerbangan Malaysia (BAR-Malaysia) berkata, ini akan membawa impak buruk kepada operasi syarikat penerbangan dan mengenakan masa menunggu yang tidak perlu buat kru.
“Syarat tambahan ini bersifat regresif,” kata presidennya, Suresh Singam kepada FMT.
Beliau berkata, operasi penerbangan ke Malaysia mungkin disemak atau dikurangkan, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mungkin menjadi titik persinggahan yang tidak efisien.
Suresh berkata, syarat itu juga mengabaikan garis panduan yang disyorkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mengecualikan kru daripada ujian Covid-19 yang disyaratkan ke atas pengembara.
Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Singapura tidak mensyaratkan ujian semasa ketibaan buat kru, katanya.
Suresh berkata demikian sebagai respons kepada laporan The Edge bahawa beberapa syarikat penerbangan asing menangguhkan rancangan untuk mengembalikan penerbangan ke Malaysia, berikutan pelaksanaan syarat bagi kru tempatan dan asing menjalani saringan demam dan ujian pantas antigen Covid-19 (RTK-Ag).
Menurut laporan itu, jika anggota kru diuji negatif, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari atau sehingga penerbangan yang dijadualkan seterusnya.
Pada masa ini, kru tidak perlu mengambil ujian RTK-Ag semasa ketibaan.
The Edge turut melaporkan, kru asing, termasuk juruterbang, kru kabin dan jurutera, perlu menjalani ujian Covid-19 setiap kali tiba di Malaysia, yang mungkin mengambil masa dua hingga tiga jam
Garis panduan terkini oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu dikatakan berkuat kuasa hari ini.
Suresh berkata, syarat kuarantin – yang mengikut garis panduan baharu juga akan dikenakan ke atas mereka yang mendapat keputusan negatif – akan mengakibatkan kru “dikuarantin berterusan di kedua-dua hujung” dan akan menjejaskan kesejahteraan mental mereka.
Kebanyakan kru tempatan telah lengkap vaksinasi, katanya.
Beliau menggesa agar garis panduan itu ditarik balik dan kru yang tiba dikecualikan daripada ujian RTK-AG bagi membolehkan mereka mematuhi masa rehat kru yang dimandatkan.