
Salah seorangnya adalah calon Ketua Menteri Pakatan Harapan (PH) Adly Zahari, yang menggesa pengundi tidak menangguhkan undian ke saat akhir.
Selepas mengundi di Durian Tunggal, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu berkata, pengundi dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan baik, tetapi berharap cuaca yang mendung akan kembali cerah.
Seorang lagi calon Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali daripada Barisan Nasional (BN) berkata, ini adalah masa terbaik untuk mengundi memandangkan pilihan raya seterusnya mungkin akan diadakan pada 2026.
“Saya mohon pengundi terus datang undi. Tiada PRN lagi hingga 2026,” katanya.
“Bimbang orang ramai anggap, tidak apa, tahun depan boleh undi. Suka saya ingatkan semua, ini adalah untuk memilih kerajaan negeri.”
Calon BN di Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman turut menggesa mereka yang masih belum mengundi supaya keluar awal.
“Saya rayu kepada semua pengundi, keluarlah mengundi. Ini hak kita sebagai rakyat Malaysia.
“Jangan bimbang, jangan takut, yang penting patuhi SOP,” katanya sambil menambah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis menjalankan tugas dengan baik dalam memastikan peraturan Covid-19 dipatuhi.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) di Bukit Katil, Muhammad Al Hafiz Yahya berkata, beliau berasa tenang dan gembira selepas mengundi di Sekolah Menengah Bukit Baru.
“Saya berterima kasih kepada SPR kerana memastikan semua pengundi mematuhi SOP,” katanya.
Beliau berharap pengundi di Melaka memilih calon terbaik yang mereka yakin mampu membantu mentadbir negeri itu.
Muhammad Danish Zainuddin dari PH, yang bertanding di Pengkalan Batu, juga mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

“Kami sudah buat yang terbaik untuk mendekati rakyat, khususnya pengundi di Pengkalan Batu. Kini tiba masanya untuk rakyat Melaka mengundi dan memastikan kita dapat tadbir Melaka berdasarkan prinsip dan integriti,” kata calon berusia 25 tahun itu.
Pusat undi akan ditutup pada 5.30 petang hari ini.