
Sumber memberitahu FMT, satu parti politik Sarawak yang sedia ada akan diubah nama, dan ia dijangka dilancarkan bulan depan.
“Seorang Ahli Parlimen bebas memberi kebenaran untuk nama parti beliau diubah untuk menarik sokongan yang lebih meluas.
“Kami perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk ubah nama,” katanya.
Menurut sumber itu, beberapa wakil rakyat bebas dan mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti masing-masing dijangka menyatakan sokongan kepada Zuraida.
Katanya, dijangka Zuraida akan menerajui parti itu dan “kami yakin beliau akan meraih sokongan rakyat.”
Beliau menyifatkan Ahli Parlimen Ampang itu mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, khususnya sewaktu beliau bersama PKR.
“Zuraida seorang yang kuat bekerja, berhaluan sederhana, dan disukai rakyat pelbagai kaum,” katanya.
Menurut sumber itu, parti baharu yang bakal diasaskan itu mahu menjadi “kuasa ketiga” dalam perjuangan mewakili rakyat berhaluan sederhana, dan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan negara.
FMT sedang menunggu respons daripada pihak Zuraida.