
Ramli Ghani, yang memfailkan permohonan itu awal bulan ini, perlu mendapat izin seorang hakim mahkamah tertinggi itu sebelum merit kes berkenaan dapat didengar.
Peguamnya, Shahrudin Ali berkata pengurusan kes ditetapkan pada 20 Dis. Ramli menamakan Kementerian Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.
Akta itu diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016.
Dalam kenyataan dikeluarkan menerusi Tetuan Shahrudinali Azfarazmi & Co, Ramli berkata badan legislatif Persekutuan tiada kuasa untuk meluluskan undang-undang itu kerana Jadual 9, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hanya Negeri-negeri mempunyai kuasa dan bidang kuasa bagi hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu.
Katanya, perubatan Islam merangkumi teras agama, Rukun Islam, akidah dan bacaan ayat-ayat al-Quran.
Katanya, akta itu mewajibkan setiap pawang, dukun dan perawat Islam mendaftar dengan kementerian, manakala menteri berkenaan membuat peraturan dan pengawalan.
Menurutnya, ini bererti seseorang terpaksa mematuhi keperluan ditetapkan melibatkan agama Islam oleh kementerian, dan bukan negeri dan majlis agama masing-masing.
Akta itu turut meliputi isu berkaitan perubatan tradisional Cina dan India, namun katanya ini bukan satu isu kerana tidak termasuk di bawah bidang kuasa negeri.