PAS kecam cubaan sabotaj oleh ahli di Lendu

PAS kecam cubaan sabotaj oleh ahli di Lendu

Yang di-Pertua PAS Masjid Tanah Imran Abdul Rahman berkata, individu ini berniat jahat dan sengaja ingin merosakkan keutuhan jentera PN.

Imran Abdul Rahman (tengah) berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan jelas mengeluarkan arahan bahawa semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi calon PN, jika berlaku pertembungan dengan BN.
MASJID TANAH:
Yang di-Pertua PAS Masjid Tanah Imran Abdul Rahman mengecam percubaan mensabotaj ke atas jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Ini susulan seorang ahli PAS Masjid Tanah, yang mendakwa sebagai timbalan ketua bahagian itu, berkata dalam satu video bahawa beliau akan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Sulaiman Md Ali, yang juga bekas Ketua Menteri.

Individu itu, Mokhtar Razak Badri, turut mendakwa terdapat mesej bercanggah daripada kepimpinan PAS mengenai siapakah yang harus diundi dan dikempenkan.

Pada sidang media hari ini, Imran berkata, terdapat “dalang” di sebalik video itu, sambil menambah, Mokhtar hanyalah ahli biasa dalam PAS Masjid Tanah.

“Bahagian ini tidak ada timbalan ketua pun, hanya naib ketua,” tambahnya sekali gus membayangkan bahawa Mokhtar sekadar “melantik dirinya” ke jawatan yang tidak wujud itu.

Berkenaan mesej daripada kepimpinan yang didakwa bercanggah, Imran berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan jelas mengeluarkan arahan bahawa semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi calon PN jika berlaku pertembungan dengan BN.

“Tidak ada sebarang kekeliruan dalam hal ini. Ia telah difahami oleh semua ahli PAS,” katanya.

“Ini jelas menunjukkan individu ini berniat jahat dan sengaja menimbulkan kekeliruan dan ingin memecahbelahkan dan merosakkan keutuhan jentera PN DUN Lendu.

“Musuh kami bukan dalam PN, tetapi BN dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Tambahnya, bahagian berkenaan akan menghantar cadangan kepada kepimpinan pusat agar individu berkenaan dipecat dan digugurkan keahliannya.

Kerusi Lendu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan penyandang, Sulaiman yang juga calon Ketua Menteri BN, Abdullah Mahadi daripada PN dan Mohamad Asri Ibrahim daripada PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.