Judi ‘underground’ masalah lebih besar, kata rakyat Kedah

Judi ‘underground’ masalah lebih besar, kata rakyat Kedah

Rakyat Kedah yang ditemui berkata realitinya judi tanpa lesen lebih meluas hingga ke kampung-kampung.

Orang ramai yang ditemui menyambut baik rancangan menamatkan operasi nombor ekor berlesen, tetapi memberitahu FMT lebih ramai rakyat menjadi mangsa judi ‘underground’ yang beroperasi dengan meluas sehingga ke kampung-kampung. (Gambar Rawpixel)
ALOR SETAR:
Penduduk Kedah lebih ‘menderita’ akibat gejala judi tanpa lesen dan yakin penutupan kedai nombor ekor bukan penawar mutlak membanteras gejala itu.

Orang ramai yang ditemui menyambut baik rancangan menamatkan operasi nombor ekor berlesen, tetapi memberitahu FMT lebih ramai rakyat menjadi mangsa judi “underground” yang beroperasi dengan meluas sehingga ke kampung-kampung.

Malah, mereka mahu tahu apakah “hala tuju” kerajaan Perikatan Nasional pimpinan PAS terhadap judi tanpa lesen, yang dikhuatiri akan bertambah apabila operasi berlesen ditutup nanti.

“Banyak judi nombor ekor ‘underground’ beroperasi di kampung, banyak orang Melayu beli, ini realitinya,” kata Nattaphong Thongkhau, 34, seorang penduduk Jitra berketurunan Siam kepada FMT.

Nattaphong Thongkhau.

“Itu yang banyak sebenarnya. Nak kekang judi macam itu susah sebab mereka bukan berdaftar. Macam mana nak jejak? Bukan senang,” katanya, menjelaskan situasi judi di nusa teras Melayu itu.

Tikam ‘sekupang’, beratus kena

Sentimen sama turut diluahkan Zakaria Hashim, 67, yang mengalu-alukan niat menamatkan operasi judi.

“Ikut pengalaman saya, boleh dikatakan 90% judi adalah judi tanpa lesen, judi berlesen 10% sahaja,” katanya.

Beliau menyambut baik niat menamatkan operasi judi fizikal tetapi mahu tahu apa rancangan kerajaan untuk judi dalam talian.

Zakaria Hashim.

Zakaria memberitahu FMT judi ‘underground’ memudahkan penggemarnya membuat taruhan.

“La ni kalau ada ‘sekupang’ pun boleh tikam dah. Budak sekolah kalau dia tahu cara nak tikam nombor, boleh sahaja depa berjudi,” katanya.

Bimbang kaki judi cari judi ‘gelap’

Seorang ahli perniagaan, Celine See, bimbang penutupan operasi nombor ekor berlesen akan menyebabkan penggemar judi mencari judi tanpa lesen.

“Saya bimbang selepas ini orang yang suka berjudi beralih kepada pasaran gelap,” katanya.

Celine See,.

Walaupun beliau sendiri tidak gemar berjudi, Celine memaklumkan kebanyakan pemilik premis judi berlesen yang dikenalinya adalah warga emas.

“Saya tidak fikir mereka selepas ini akan membuka perniagaan baharu selepas lesen perniagaan tidak dapat diperbaharui,” katanya.

Judi berteknologi

Mariamah Ramalingam.

Mariamah Ramalingam, 57, kenal keluarga-keluarga yang musnah kerana judi. “Saya lebih rela tengok ‘najis’ daripada tengok ‘kaki judi’,” katanya.

Kebimbangan paling ketara wanita ini adalah pelajar-pelajar sekolah yang terdedah kepada judi dalam talian.

“Budak sekolah yang ibu bapa beri ‘smartphone’ boleh ‘tikam’. RM1 sahaja sudah boleh ‘tikam’,” katanya.

Pengusaha kedai, Tan Men Jih, menyambut baik hasrat menutup operasi judi fizikal, kerana ia dikunjungi oleh orang “tidak hidup dalam realiti”.

Beliau bagaimanapun sedar masalah paling besar terletak di alam maya.

“Walaupun judi yang berdaftar boleh dihapuskan, tapi judi ‘online’ tidak boleh dikawal. Itu dunia teknologi,” katanya.

Semua boleh sepakat tapi kena terang

Ketua Kampung Tok Kesop, Ali Mat Isa, menyambut baik rancangan kerajaan menamatkan operasi nombor ekor di negerinya.

Ali Mat Isa.

Beliau yakin rakyat Kedah apapun anutan mereka tidak membantah hasrat itu dan boleh bersepakat dalam hal ini.

“Kalau saya sembang dengan bukan Melayu, bukan Islam, depa faham. Tak ada bantah tapi kena bagi peneranganlah bagi depa paham,” katanya.

Ali sempat menyingkap sedikit masa silam untuk pembaca FMT. Katanya, puluhan tahun dahulu judi bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan orang Islam di Kedah, sehinggakan ada ‘tok lebai’ buat rumah guna duit judi.

“Siap buat kenduri kesyukuran lagi. Tak berapa lama (selepas itu), dia jual. Tak tahulah (kenapa)…dia rasa tak selesa. Rasa panas dalam rumah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.