Nak cabar keputusan saya di mahkamah? Silakan, kata Sanusi

Nak cabar keputusan saya di mahkamah? Silakan, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah menegaskan beliau melarang operasi judi berdasarkan undang-undang.

Kerajaan negeri tidak mahu lagi melihat mana-mana pihak terkesan dengan ‘penyakit tahi judi’, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. (Gambar Pejabat Menteri Besar)
ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah sedia berdepan tindakan undang-undang berhubung keputusan melarang pembaharuan lesen kedai judi nombor ekor yang didakwa tidak berperlembagaan, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau menegaskan, keputusan kerajaan negeri adalah muktamad.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu lagi melihat mana-mana pihak terkesan dengan “penyakit tahi judi”.

“Muktamad, tak payah datang bincang lagi…jika beliau (pihak tidak berpuas hati) rasa ada keperluan untuk berbuat begitu (tindakan undang-undang) saya persilakan.

“Berdasarkan undang-undang yang mana dia boleh pergi dia pergilah, saya buat kerja saya berdasarkan undang-undang juga. Dia boleh buat semakan kehakiman itu terpulang kepada merekalah, saya buat kerja saya dan dia buat kerja dia,” katanya pada sidang media.

Sanusi berkata, Kelantan dan Terengganu juga melakukan perkara sama dilaksanakan Kedah, namun mereka tidak berdepan sebarang cabaran di mahkamah.

Membalas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga yang juga Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, yang bercadang memfailkan semakan kehakiman, Sanusi berkata, ia sememangnya dijangka kerana “DAP akan menyebelahi kedai premis judi nombor ekor”.

Baru-baru ini, ahli MUDA, Lim Wei Jiet, berkata langkah melarang operasi kedai judi adalah tidak berperlembagaan, kerana pertaruhan termasuk loteri berada dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Sejumlah 45 premis judi beroperasi di seluruh negeri ini, seperti diberitahu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sementara itu, Sanusi menyatakan permohonan maaf kepada Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, yang tersinggung dengan kenyataannya meminta rakyat Kedah yang mahu membeli nombor ekor boleh melakukannya di negeri jirannya itu.

Wan Salim berpandangan kenyataan seperti itu seolah-olah menggambarkan Pulau Pinang menggalakkan maksiat.

Sanusi berkata, Wan Salim adalah pensyarahnya di Universiti Sains Malaysia dan menganggap beliau sebagai “guru”.

“Saya bergurau saja, dia terasa hati saya minta maaflah, dia guru saya pensyarah USM, saya terima teguran dia terima kasih, saya tak cakap Pulau Pinang Darul Judi…tapi Pulau Pinang tak haram perjudian boleh beli di sanalah,” katanya.

Beliau berkata, Wan Salim sebagai Mufti Pulau Pinang juga dinasihatkan mengambil tindakan seperti dilakukan Kedah.

“Dr Wan Salim Mufti Pulau Pinang, betul? Jadi, beliau sepatutnya nasihatkan kerajaan Pulau Pinang melakukan perkara sama (larang kedai judi beroperasi),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.