
Ketika memberitahu FMT, Rauf berpandangan pengumuman Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri, tidak akan meletakkan dirinya pada kedudukan lemah atau mengakibatkan sokongan pengundi di Tanjung Bidara beralih kepada Ahli Parlimen Masjid tanah itu.
Rauf yang juga calon Barisan Nasional (BN) berkata, pengumuman itu sekadar “gula-gula” untuk mengumpan pengundi menyokong PN, selain menambah taktik dilancarkan saingannya itu tidak akan berkesan.
“Mereka boleh umum apa sahaja, namun pengundi Tanjung Bidara mengetahui siapa pemimpin mereka. Keseluruhan Masjid Tanah (penduduk) melihat selepas beliau menang (bertanding tiket BN), tetapi meninggalkan parti (Umno).
“Saya tidak fikir penduduk Tanjung Bidara ingin melakukan kesilapan sama sekali lagi,” katanya.
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Rauf, berdepan persaingan tiga penjuru, selain calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan, di kerusi panas itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu.
Kerusi terbabit sebelum ini dimenangi calon Umno mewakili BN, Md Rawi Mahmud, pada pilihan raya umum lalu, dengan majoriti 2,864 undi.
Terdahulu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, mengumumkan Mas Ermieyati akan menerajui kerajaan negeri sekiranya gabungan berkenaan menang PRN Melaka. BN sebelum ini menamakan Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri, manakala PH mencalonkan Adly Zahari.