Enggan dedah isu MITRA, ‘saya tiada kuasa paksa menteri jawab soalan’, kata speaker

Enggan dedah isu MITRA, ‘saya tiada kuasa paksa menteri jawab soalan’, kata speaker

Azhar Harun berkata demikian selepas Dewan Rakyat kecoh hampir 45 minit dengan pertikaian beberapa Ahli Parlimen Pembangkang.

Azhar Harun berkata Speaker Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa atau tanggungjawab untuk memaksa menteri menjawab soalan diajukan pembangkang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun memberitahu Ahli Parlimen pembangkang yang beliau mahu setiap menteri menjawab semua soalan diajukan oleh pembangkang tetapi ia bukan dalam kuasanya.

Penjelasan itu dibuat selepas Dewan Rakyat kecoh hampir 45 minit apabila berlaku pertikaian oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang meminta speaker membuat ketetapan menuntut menteri menjawab soalan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana atau rasuah.

Ini selepas Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique semalam enggan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pembangkang berhubung dakwaan penyalahgunaan dana dalam Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Segambut ada tanya saya sama ada speaker boleh paksa menteri jawab soalan atau tidak. Secara pendek saya cakap, kuasa itu tak wujud.

“Menteri ada tanggungjawab untuk menjawab tetapi Speaker Dewan Rakyat tak ada kuasa atau tanggungjawab untuk memaksa beliau menjawab,” kata Azhar di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) tidak berpuas hati dengan tindakan Halimah semalam dan mempersoalkan sama ada menteri boleh mengelak menjawab soalan dengan mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihati menteri untuk tidak menjawab.

Katanya, beliau telah membentangkan usul untuk membahaskan isu MITRA tetapi telah ditolak.

“Bagaimanakah Ahli Parlimen boleh mendapat jawapan mengenai dana MITRA untuk golongan India yang miskin?

“Bukankah ini penetapan keutamaan di mana setiap menteri boleh menjawab dengan cara yang sama mengenai rasuah dan penyalahgunaan dana?” soalnya kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon yang mempengerusikan persidangan itu.

Bagaimanapun, Azhar yang masuk menggantikan Rashid menjelaskan Halimah tidak menjawab pertanyaan Rayer semalam sama ada pemimpin MIC terlibat dalam dakwaan skandal dana MITRA kerana masih dalam siasatan SPRM.

“Soalan yang ditanya semalam sama ada si polan dan si polan terlibat. Maka saya nampak dari pejabat saya, menteri telah mengatakan bahawa perkara itu dalam siasatan.

“Jadi kalau siasatan belum lengkap, macam mana menteri nak tahu sama ada si polan itu tak terlibat. Sebab itu menteri kata tunggu SPRM habis siasat. Baru kita tahu siapa terlibat atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati kerana Halimah telah berselindung di sebalik SPRM.

Beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang mahu Speaker Dewan Rakyat membuat panduan mengenai perkara itu.

“Jika melibatkan kepentingan rakyat dan negara, penyelewengan melibatkan berbilion ringgit, tetapi tak boleh dibahaskan.

“Ini sebab kita ungkit. Soal MITRA ini bukan perkara kecil. Kita tanya 20 soalan, menteri jawab tak nak jawab, maka speaker tak boleh buat apa-apa. Jadi kita tutup Parlimen. Ini jadi masalah politik,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan sekiranya menteri tidak menjawab soalan dengan betul atau tidak menjawab, Ahli Parlimen boleh menulis surat kepadanya.

Beliau berkata akan berusaha meminta menteri menjawabnya.

“Sebelum ini pun, saya sudah banyak suruh menteri jawab soalan yang tidak dijawab…dan mereka telah jawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.