
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, berkata perkara itu tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada PH, dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.
“Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan (Najib Razak) telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.
“Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa di Parlimen, rumah dan tanah yang dipohon oleh Najib bernilai RM100 juta.
Pada 13 Sept, kerajaan dan PH memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Selain itu, tujuh tawaran dipersetujui bersama membabitkan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi 18, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan keanggotaan seimbang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, tindakan Jemaah Menteri untuk “menghadiahkan” tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan tidak bermoral dan tidak masuk akal.
“Malah beliau (Najib) sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri,” katanya.
Cabar Ahli Parlimen
Terdahulu di Melaka, Anwar mencabar Ahli Parlimen kerajaan menyatakan pendirian mereka secara jelas jika Putrajaya bersetuju menawarkan plot tanah termasuk sebuah kediaman kepada bekas Perdana Menteri itu.
Dalam majlis minum petang bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu di Little India, Anwar turut menyelar permohonan Najib kepada kerajaan, bagi mendapatkan kediaman dan tanah.
“Saya mahu tengok siapa daripada Ahli Parlimen Umno, Bersatu, PAS dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang menyokong memberi (pemberian plot tanah dan kediaman) kepada Najib.
“Kalau sokong, siap,” katanya.
Najib berkata beliau hanya memohon sebuah kediaman mengikut Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003, sejajar dengan kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri.
Beliau berkata, angka RM100 juta itu diletakkan oleh sebuah portal pro Perikatan Nasional untuk dijadikan isu sempena pilihan raya negeri Melaka Sabtu ini.