Bajet 2022 peringkat dasar lulus dengan undi suara, Leiking bidas Ahli Parlimen pembangkang

Bajet 2022 peringkat dasar lulus dengan undi suara, Leiking bidas Ahli Parlimen pembangkang

Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, mempersoalkan pembangkang yang memeterai MoU hanya sekadar mampu mengkritik.

Mengambil kira kritikan yang ditujukan terhadap Bajet 2022, Ahli Parlimen pembangkang mempunyai alasan kukuh untuk menolaknya, kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Warisan kecewa terhadap rakan pembangkang lain yang tidak menyokong gesaan mengundi secara belah bahagi, dalam pengundian peringkat dasar meluluskan Bajet 2022, hari ini.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, berkata pengundian belah bahagi akan lebih memaparkan kekecewaan rakyat Malaysia berkenaan bajet terbabit, terutama peruntukan tidak adil kepada Sabah dan Sarawak.

“Mereka (rakyat) mahu kita bercakap untuk mereka,” katanya kepada FMT.

Katanya, hanya partinya, selain MUDA dan Pejuang, membuat keputusan pengundian secara belah bahagi.

“Mengambil kira kritikan yang ditujukan terhadap bajet ini, yang lain (pembangkang) sepatutnya berdiri bersama kami berhubung ketidakadilan dalam bajet berkenaan,” katanya.

Pengkritik sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati kerana bajet terbabit dilihat terlalu menumpukan Bumiputera, manakala ahli politik dari Malaysia Timur, merungut berhubung peruntukan kecil kepada Sabah dan Sarawak, masing-masing menerima RM5.2 billion dan RM4.6 billion.

Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob, sepatutnya tidak menapis “rungutan rakyat biasa yang tidak didengari”.

Walaupun sebelum ini, kepimpinan pembangkang memberi jaminan perjanjian MoU berkenaan tidak akan menghalang mereka dalam proses semak dan imbang terhadap kerajaan, Darell mempersoalkan adakah jaminan berkenaan terhenti setakat mengkritik semata-mata.

Katanya, peruntukan yang dianggap tidak munasabah kepada Sabah dan Sarawak, termasuk kepada komuniti lain menjadi alasan kukuh kepada pembangkang menolak bajet ini.

“Sudah jelas terbukti. Ia seperti kerajaan Ismail Sabri mengambil kesempatan mengawal pembangkang dengan MoU,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.