
Mohamad Ali Mohamad yang bertanding di kawasan Sungai Udang, dalam sidang medianya, berkata beliau bersetuju dengan cadangan undang-undang anti-lompat parti dan cukup menghormati pendirian tegas DAP berhubung isu terbabit, sehingga ke tahap enggan menerima mana-mana pembelot.
“Namun, saya terkejut mereka (DAP) meninggalkan prinsip dan maruah dalam menerima pembelot Umno dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam majlis penerimaan borang keanggotaan menyertai Umno, di sini.
Sebelum ini, DAP menyuarakan bantahan terhadap penerimaan PH membabitkan bekas wakil rakyat Umno, Idris Haron dan Nor Azman Hassan, dengan secara berselindung gagal menyakinkan dua lagi parti rakan komponennya.
Ditanya, mengapa beliau menyatakan kekecewaan terhadap DAP kerana PKR dan Amanah sahaja menerima dua bekas wakil rakyat Umno itu, Ali berkata, beliau melihat DAP sebagai ‘abang besar’ dalam PH.
“Saya fikir mereka lebih kuat untuk menghentikan pembelot menyertai parti itu,” katanya.
Terdahulu, Ali menerima borang keanggotaan daripada 20 penduduk di Kampung Bertam Hulu, yang sebelum ini menjadi ahli Bersatu.
Manakala, 70 lagi penduduk kampung juga menghantar borang keanggotaan, namun tidak dapat hadir pada majlis itu bersama Mohamad.
“Saya terharu kerana anggota parti yang meninggalkan Umno kembali semula. Mereka membuat keputusan itu kerana menyedari hanya parti Umno sahaja yang boleh memperjuangkan rakyat,” katanya.