Tutup kedai nombor ekor: DAP langsung tak peduli hak orang Islam, kata Hadi

Tutup kedai nombor ekor: DAP langsung tak peduli hak orang Islam, kata Hadi

Abdul Hadi Awang menuduh kalangan pemimpin DAP tidak menghormati hak penganut Islam dan membantah setiap tuntutan PAS mengenai pelaksanaan Islam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata penganut agama lain juga melarang judi dalam agama mereka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh DAP langsung tidak mempedulikan hak penganut Islam apabila menentang tindakan kerajaan Kedah mahu menutup kedai nombor ekor di negeri itu.

“Terdapat dalam kalangan pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan, mereka menentang tindakan kerajaan Kedah dengan alasan kononnya ia menyentuh hak bukan Islam.

“Mereka langsung tidak pernah mempedulikan hak penganut Islam dan kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan yang mengharamkan judi sepenuhnya kepada penganut Islam.

“Malah, penganut agama lain juga melarang judi dalam agama mereka,” dakwa Hadi dalam portal Harakahdaily, tanpa menyatakan sumber rujukan beliau mengenai kenyataan itu.

Abdul Hadi Awang.

Hadi juga tidak mengupas mengenai kritikan MIC dan MCA terhadap tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mahu menutup kedai nombor ekor dan mengekang penjualan arah di negeri itu.

MIC dan MCA adalah rakan sekutu PAS dalam kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, Hadi mensasarkan DAP yang pernah menjadi sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Sikap DAP yang tidak berubah sehingga kini merupakan sebab mengapa PAS diputuskan hubungannya oleh DAP. Bukannya PAS yang terlebih dahulu memotong tali hubungan antara kedua-dua buah parti,” kata beliau.

Malah, Hadi mendakwa, PAS memperolehi “maklum balas” bahawa ada pihak dalam parti itu “yang tidak bersetuju dengan sikap agresif pemimpin mereka yang bertindak mencampuri urusan agama Islam dan para penganutnya.”

“Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang disingkirkan daripada DAP kerana tidak bersetuju dengan pendekatan yang melampau,” katanya.

Hadi turut mendakwa DAP bersikap campur tangan terhadap setiap pelaksanaan Islam yang dibuat oleh kerajaan negeri bawah pentadbiran PAS atau tuntutan PAS yang mendesak kepada pelaksanaan Islam.

Beliau berkata, bantahan itu dibuat sekali pun apa yang dilakukan PAS mengikut lunas yang terkandung dalam Perlembagaan dan langsung tidak menyentuh hak penganut agama lain.

Seorang peguam hari ini berkata, tindakan Sanusi mahu menutup kedai nombor ekor melanggar Perlembagaan dan adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, ini kerana kerajaan negeri pimpinan PAS itu akan menghalang mata pencarian yang sah bagi ahli perniagaan yang beroperasi melalui pelesenan.

“Tindakan tidak memperbaharui lesen mereka sebenarnya bercanggah dengan Perkara 5 (hak untuk sara hidup) dan Perkara 13 (hak kepada harta) dalam perlembagaan,” katanya.

Syed Iskandar berkata, Kedah boleh menggunakan enakmen jenayah syariahnya untuk memantau orang Islam yang mengunjungi kedai judi dan membeli serta meminum arak.

Namun, beliau menegaskan “penguatkuasaan mesti mengikut parameter Perlembagaan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.