Sultan Mizan arah tangguh terbitan bon RM5 bilion, kata bekas CEO 1MDB

Sultan Mizan arah tangguh terbitan bon RM5 bilion, kata bekas CEO 1MDB

Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Sultan Mizan Zainal Abidin berkata 'kepentingan dan kerunsingannya' adalah untuk kesejahteraan negeri dan rakyat.

Bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail berkata Najib Razak mahu terbitan bon itu diteruskan seperti yang dirancang.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengarah 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah 1MDB Najib Razak bahawa Sultan Terengganu, Mizan Zainal Abidin telah mengarahkan beliau menangguhkan terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diguna bagi mendapatkan pinjaman RM5 bilion untuk Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

Ismee Ismail berkata semasa mengadap Sultan Mizan pada 22 Mei 2009, baginda memberitahu beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk menangguhkan penerbitan bon itu “kerana kepentingan dan kerungsingan saya adalah untuk kesejahteraan negeri saya dan rakyat”.

Beliau berkata, adik Sultan Mizan, Tengku Rahimah, turut hadir.

“Reaksi pada semua orang (Shahrol, Ismee dan Tengku Rahimah) pada masa itu tidak berkata apa-apa dan saya hanya menjawab kepada Tuanku, ‘your concern is my concern’ bermaksud apa yang menjadi kerungsingan Tuanku adalah menjadi kerunsingan saya juga.

“Pada pandangan saya, sekiranya Tuanku sendiri yang ingin menangguhkannya, ia tidak perlu dipersoalkan,” katanya.

Sebelum ini, Shahrol memberi keterangan bahawa beliau dan Ismee telah dipanggil menghadap ke Istana Terengganu di Jalan Kia Peng di sini selepas solat Jumaat.

Ismee memberitahu mahkamah bahawa mereka mematuhi perintah Sultan Mizan dan menandatangani resolusi itu untuk menangguhkan penerbitan bon itu.

“Dalam perjalanan ke tempat meletak kereta, Shahrol mengatakan kepada saya kita tidak boleh menangguhkan IMTN ini atas justifikasi arahan telah diberikan kepada pihak AmBank.

“Shahrol beritahu saya, ‘we have already pushed the button.’ Saya ada menyatakan pada Shahrol kenapa tak maklumkan pada mesyuarat tadi. Tetapi Shahrol berkata dia tidak biasa berdepan dengan situasi seumpama ini,” katanya sambil menambah bahawa beliau sudah memberitahu Shahrol untuk menyelesaikan perkara itu.

‘Najib mahu terbitan bon diteruskan seperti yang dirancang’

Ismee juga berkata beliau menerima panggilan daripada Shahrol petang itu, memaklumkan Najib mahu berjumpa dengan mereka.

“Lebih kurang jam 8.00 ke 8.30 malam, saya sampai di rumah Najib (Jalan Langgak Duta). Ketika masuk, saya dapati Shahrol telah berada di ruang tamu.

“Dalam beberapa minit kemudian Najib pun turun dan saya menerangkan secara ringkas apa yang berlaku semasa perjumpaan dengan Sultan Mizan,” katanya.

Beliau berkata Najib mempersoalkan mengapa mereka menandatangani penangguhan IMTN itu.

“Respon pertama Najib adalah, ‘why did you sign it?’,” katanya, dan menambah Najib turut mempersoalkan mengapa mereka tidak memohon kepada Sultan Mizan untuk memberikan masa untuk berfikir.

“Saya kata ini adalah titah Tuanku, jadi apa yang mampu kami lakukan,” katanya.

Ismee berkata beliau beranggapan bahawa Najib mahu terbitan bon RM5 bilion itu diteruskan seperti yang dirancang.

Mahkamah sebelum ini mendengar bagaimana TIA pada mulanya mahu membangunkan Pulau Bidong di Terengganu sebagai tempat pelancongan baharu negeri itu. Pulau itu pernah menjadi tempat perlindungan pelarian Vietnam dari 1970-an hingga 1990-an.

TIA mahu meraih RM5 bilion melalui IMTN, dan Ambank Islamic dipilih untuk tujuan di mana bon itu akan dijamin oleh kerajaan persekutuan.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.