Saya telah perjuangkan, malangnya KPM tidak mahu teruskan sarapan percuma, kata Maszlee

Saya telah perjuangkan, malangnya KPM tidak mahu teruskan sarapan percuma, kata Maszlee

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata kerajaan pada 15 Jan tahun lalu memutuskan untuk tidak meneruskan program itu sebaliknya meneruskan program RMT.

Maszlee Malik berkata, beliau kecewa dengan keputusan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin yang tidak meneruskan program sarapan percuma. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik kecewa dengan keputusan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin yang tidak meneruskan program sarapan percuma (PSP) kepada murid sekolah rendah pada sesi persekolah tahun depan.

Dalam catatan di Twitter, beliau mempersoalkan jawapan bertulis Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengikut keputusan Jemaah Menteri ketika pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Yang Menteri Kanan Pendidikan ikut keputusan jemaah menteri kerajaan lama 2020 sebelum Covid-19 ini apa cerita?” soalnya merujuk kepada soalan beliau apakah kerajaan hari ini bercadang untuk memperkenalkan semula PSP bagi sesi persekolahan 2022 sebagai usaha pemulihan pasca wabak Covid-19.

Dalam jawapan bertulis semalam, Radzi berkata Kabinet dalam mesyuarat pada 15 Jan tahun lalu memutuskan untuk tidak meneruskan program itu.

Sebaliknya, beliau berkata, KPM akan meneruskan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah (PSS).

“KPM yakin pelaksanaan RMT ketika ini dapat memberi impak positif kepada keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan sihat oleh murid sekolah rendah, khususnya murid B40,” katanya dalam jawapan bertulis berkenaan.

Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan bagaimanapun menegaskan RMT hanya menyasarkan murid daripada keluarga B40, sedangkan program sarapan pagi percuma untuk semua murid.

“Buat rakyat Malaysia dan guru, saya telah mencuba, saya telah perjuangkan. Malangnya KPM dan menterinya tidak berminat untuk melaksanakan PSP,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.