PRN Melaka: PN umum calon Ketua Menteri esok, kata Hamzah

PRN Melaka: PN umum calon Ketua Menteri esok, kata Hamzah

Setakat ini hanya PN yang belum menamakan calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN Melaka.

PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon Ketua Menteri gabungan itu esok, kata Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin, lapor Bernama.

Beliau berkata calon Ketua Menteri itu akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan itu, bagi memilih individu yang diterima masyarakat secara keseluruhannya serta mampu mendapat sokongan daripada pengundi di atas pagar.

“Jadi kalau pun beliau (Ketua Menteri) datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja, di mana Tun Teja berperanan membangunkan negeri Melaka, jadi apa salahnya kalau kali ini kita meletakkan seorang wanita.

“Kita juga ada beberapa doktor, profesional, jurutera, ini kita akan bincangkan dan akan kita umumkan insya-Allah pada esok hari,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

Setakat ini hanya PN yang masih belum mengumumkan calon Ketua Menteri yang akan dilantik sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan bekas Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri manakala Pakatan Harapan menamakan Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri sebelum ini.

Terdahulu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada sidang medianya berkata, calon bagi jawatan Ketua Menteri Melaka akan dipilih daripada Bersatu.

Muhyiddin berkata, PN akan mengumumkan nama calon berkenaan beberapa hari sebelum hari pengundian pada 20 Nov.

Selain calon Bersatu, PN juga diwakili PAS dan Gerakan, pada PRN Melaka.

“Mengambil kira Bersatu yang mempunyai jumlah calon terbanyak, jawatan berkenaan akan diberikan kepada seorang daripada Bersatu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.