Larang operasi kedai nombor ekor demi keharmonian rakyat, kata Sanusi

Larang operasi kedai nombor ekor demi keharmonian rakyat, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah berkata tidak ada kajian mengatakan judi menguntungkan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan China sejak 1949 lagi sudah mengharamkan aktiviti perjudian dalam kalangan rakyatnya.
ALOR SETAR:
Keputusan kerajaan Kedah melarang pembaharuan lesen kedai nombor ekor dibuat demi keharmonian negeri ini, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, keputusan itu juga dilaksanakan sebagai tanda bersyukur kepada Allah ke atas nikmat dinikmati rakyat negeri ini.

Sambil memetik cerita berunsur spiritual berkenaan sahabat Nabi Muhammad, Abu Qilabah, yang sentiasa bersyukur walaupun sakit terlantar, Sanusi berkata, dengan bersyukur atas nikmat dikurniakan, Allah akan menambah lebih banyak nikmat ke atas negeri ini.

“Dengan begitu banyak rizab yang kita ada, paling tinggi dalam sejarah, dengan amannya kita, aman Exco-exco buat kerja, amannya pegawai-pegawai turut apa sahaja dasar kerajaan perintahkan.

“Maka, saya buat keputusan untuk tidak lagi menyambung lesen premis perjudian sebagai salah satu daripada saya bersyukur ke atas banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada negeri ini,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sanusi yang juga ADUN Jeneri berkata, bagaimanapun masih ada yang membantah keputusan berkenaan yang digambarkan sebagai tidak mencerminkan perkara sebenar, di sebalik larangan itu.

“Tapi, ada orang bantah, guna alasan hak asasi, guna alasan ini rasism (perkauman), nak menghalang orang bukan Islam, sebenarnya tak betoi (betul) itu semua,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada satu kajian pun yang mengatakan perjudian akan menguntungkan.

“Malahan, kerajaan China, 1.4 bilion rakyatnya, orang Islam mungkin ada 20-30 juta sahaja. Kerajaan China haramkan perjudian sejak 1949 lagi, judi dalam China tak boleh, rakyat China berjudi di luar tak boleh,” katanya.

Sanusi ketika mengulas lanjut berkata, ada 117,000 tangkapan yang dibuat kerajaan China membabitkan rakyatnya yang berjudi di sempadan.

“Itu di China, kita negara yang ramainya umat Islam mengharamkan perkara ini,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri mengambil dasar untuk menjaga keharmonian masyarakat di Kedah.

“Atas dasar kita bersyukur dengan nikmat kita yang banyak, tu pun orang mainkan juga sentimen yang di luar hakikat sebenarnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.