
Sambil menyatakan sokongan kukuh terhadap PH di kerusi pernah disandangnya itu, Effandi berkata, beliau tidak mahu ‘mencuri perhatian’, berbanding calon PH Telok Mas, Ashraff Mukhlis Minghat.
“Ketika ini musim pilihan raya, saya tidak mahu mengganggu kempen dan belum memohon borang keanggotaan. Kami sibuk mencetak risalah untuk Ashraff, bukan borang.
“Secara rasminya, saya bukan dalam PH, tapi jiwa dan usaha saya bersama PH. Sama ada PKR, DAP, atau Amanah, saya sudah memilih parti bersesuaian, namun belum mahu mendedahkannya. Tunggu Ahad ini,” katanya.
Effandi antara seorang daripada empat wakil rakyat yang menarik sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka. Selain Effandi, tiga yang lain membabitkan Idris Haron, Nor Azman Hassan dan Norhizam Hassan Baktee.
Berikutan tindakannya itu, Effandi dipecat daripada Bersatu.
Beliau menjadi satu-satunya kumpulan wakil rakyat berkenaan yang tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka. Idris dan Nor Azman dicalonkan sebagai calon PH, manakala Norhizam bertanding sebagai Bebas.
Effandi berharap Ashraff, daripada Amanah, berjaya mempertahankan kerusi Telok Mas kepada PH, sambil berkata, sokongan di kawasan terbabit terhadap PH tidak berganjak, walaupun selepas Langkah Sheraton, tahun lalu.
Beliau yakin pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu memberi kelebihan kepada PH.
“Ke mana sahaja saya pergi (ketika masih menjadi wakil rakyat), majoriti rakyat di Telok Mas, menyatakan kekecewaan terhadap perubahan kerajaan negeri.
“Mereka sukakan saya, namun mereka kecewa dengan apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya yakin PH tidak pernah hilang sokongan,” katanya.
Katanya, beliau sekali lagi menekankan melakukan kesilapan menuruti keputusan Bersatu dahulu, yang bertindak keluar daripada kerajaan negeri ditadbir PH.
Ashraff berdepan tentangan empat penjuru dengan kawasan itu yang ditandingi Ketua PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen, calon Umno, Abd Razak Rahman dan calon Bebas, Ariff Adly.