
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas enam bulan daripada penerimaan dos kedua manakala bagi vaksin Sinovac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua.
“Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.
Beliau berkata, KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di negara ini, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Pada 8 Okt, mesyuarat PBKD memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Pfizer sebagai dos penggalak pertama untuk memerangi Covid-19 di negara ini.
Pelaksanaan pemberian dos penggalak Pfizer telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Okt lalu dengan permulaan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas.