
Ia terdiri daripada inisiatif pemberian baucar makanan percuma melalui program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia; pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui program VACC2CAMPUS; pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program RTK@CAMPUS; dan penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui program GETHIRED@KPT.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Mohd Zabri Yusoff berkata empat inisiatif AKM itu dilaksanakan berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu perlu sejajar dengan dasar semasa, berimpak tinggi dan boleh diukur, serta disesuaikan dengan slogan kementerian #KPTPrihatin.
“KPT turut mengambil kira aspek sumber kewangan, yang mana inisiatif AKM 100 Hari bagi KPT tidak memerlukan peruntukan tambahan kerajaan, tetapi menggunakan peruntukan sedia ada hasil penjimatan dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai AKM 100 Hari KPT.
Beliau berkata di bawah program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, KPT setakat ini telah mengagihkan 470,444 baucar makanan bernilai RM15 setiap baucar kepada pelajar B40 secara bersasar, berbanding sasaran awal 443,760 baucar makanan.
Sementara itu bagi pemberian vaksin melalui Program VACC2CAMPUS, Mohd Zabri berkata berdasarkan rekod terkini, 100 peratus warga pendidikan tinggi telah menerima vaksinasi lengkap.
“Ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif ke arah membentuk kampus yang selamat,” katanya.
Melalui program RTK@CAMPUS pula, menurutnya 1.168 juta unit kit RTK telah dibekalkan kepada IPT untuk kegunaan pelajar sedia ada, pelajar baharu dan juga untuk sebagai intervensi kepada pelajar luar kampus yang berulang-alik serta pelajar yang menunjukkan gejala.
Beliau berkata bagi penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT pula, melalui program GETHIRED@KPT seramai 13,610 pelajar tempatan telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan, melebihi sasaran awal seramai 13,000 pelajar.
“Dengan adanya bantuan-bantuan berbentuk nyata seperti pemberian baucar makanan, vaksin, kit RTK dan penyediaan peluang penawaran pekerjaan serta penjanaan pendapatan graduan, KPT berharap kumpulan sasaran berasa lebih selamat dan terjaga terutamanya dari aspek kebajikan dan keselamatan,” kata Mohd Zabri.
“Boleh saya rumuskan bahawa KPT secara keseluruhannya berjaya mencapai AKM 100 Hari yang ditetapkan,” tambahnya.
Perdana Menteri Sabri Yaakob dalam ucapan pembentukan Kabinet beliau pada 27 Ogos mengumumkan setiap menteri perlu menunjukkan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio.