Timbang semula keputusan tak benar khidmat e-panggilan teksi motosikal, gesa ahli ekonomi

Timbang semula keputusan tak benar khidmat e-panggilan teksi motosikal, gesa ahli ekonomi

Keputusan ini akan mengakibatkan terlepasnya peluang dalam kesalinghubungan luar bandar dan pelancongan, kata Barjoyai Bardai.

    Kerajaan setakat ini tiada perancangan memperkenal perkhidmatan e-panggilan teksi motosikal kerana mengambil kira isu keselamatan dan kemalangan jalan raya membabitkan pengguna motosikal. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan teksi motosikal di negara ini.

Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, ini akan mengakibatkan terlepasnya peluang dalam kesalinghubungan luar bandar dan pelancongan.

Beliau berpendapat, tidak perlu ada peraturan menyeluruh terhadap pengoperasian perkhidmatan berkenaan.

“Di kawasan terpencil, di mana jalan raya adalah terhad, perkhidmatan e-panggilan seperti itu mungkin menjadi keperluan asas,” katanya.

Berjoyai Bardai.

“Di bandar dan kawasan pelancongan, ia boleh dijadikan pengangkutan bagi pengunjung dan pelancong … Seperti beca zaman moden.”

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan setakat ini tiada perancangan memperkenal perkhidmatan itu kerana mengambil kira isu keselamatan dan kemalangan jalan raya membabitkan pengguna motosikal.

Sum Agong menjawab soalan Larry Sng (Ind-Julau) yang bertanyakan tentang perkembangan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan ini seperti yang diumumkan pada 2019.

Walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi belia B40 dengan membenarkan perkhidmatan e-panggilan teksi motosikal, langkah itu kemudiannya ditangguh atas kebimbangan mengenai keselamatan.

Rosli Azad Khan.

Sementara itu, perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, perkhidmatan e-panggilan teksi motosikal tidak sepatutnya dibenarkan sehingga penguatkuasaan keselamatan jalan raya dapat dipertingkat.

Menurut Rosli, penunggang motosikal tidak menggunakan lorong yang dikhaskan di lebuh raya seperti Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya KESAS, malah ramai yang menunggang dengan laju.

“Jika anda membonceng, anda takkan rasa selamat, tak kira lah betapa terdesaknya nak ke mana-mana,” katanya.

Rosli, yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri, bagaimanapun, menyatakan manfaat perkhidmatan tersebut dari segi kesalinghubungan batu pertama dan terakhir.

“Jika seseorang individu mahu menggunakan perkhidmatan MRT atau LRT, dan kediaman mereka terletak 2km dari stesen, mereka mungkin akan pertimbang guna perkhidmatan e-panggilan teksi motosikal – tetapi ia mesti selamat,” katanya.

“Dalam keadaan itu, mungkin ada sebab untuk membenarkannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.