Penduduk Melaka harap Bersatu tak larang judi

Penduduk Melaka harap Bersatu tak larang judi

Lily Chiang berkata, larangan itu adalah tidak adil bagi bukan Islam kerana dasar itu tidak mengambil kira hak mereka.

Penduduk Melaka bimbang Perikatan Nasional melaksanakan larangan yang sama seperti diumumkan oleh Kedah.
AYER KEROH:
Larangan pengoperasian premis perjudian di Kedah membuatkan penduduk Melaka bimbang langkah sama diambil di negeri itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) minggu depan.

Lily Chiang, 55, memberitahu FMT, larangan itu adalah tidak adil bagi bukan Islam kerana dasar itu tidak mengambil kira hak mereka untuk melakukan aktiviti berkenaan.

“Kadang-kadang orang Cina berkata mereka mahu ‘mencuba nasib’. Tiada apa-apa yang salah jika buat sedemikian,” katanya.

Larangan itu juga mungkin menghalang industri pelancongan antarabangsa kerana Melaka adalah destinasi bagi orang ramai dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau tidak percaya PN akan melaksanakan dasar sedemikian kerana Bersatu adalah parti yang lebih besar dalam gabungan itu dan lebih berfikiran terbuka.

Seorang warga Melaka berusia 23 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Teo berkata, larangan itu akan memberi kesan kepada orang lebih tua dan bersara yang biasanya sering mengunjungi premis perjudian untuk sedikit keseronokan dalam kehidupan seharian mereka.

“Jika kedai 4D ini sah, kenapa kerajaan perlu mengharamkannya? Bagi saya, ini bukan satu isu kerana orang Melayu dan Islam tidak boleh mengambil bahagian. Jika saya orang Kedah, saya akan katakan perkara ini tidak sepatutnya berlaku di negeri saya. Tetapi saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk menentangnya,” katanya.

Menyuarakan kekecewaan dalam isu sama dan juga kontroversi mengenai wiski “Timah”, Mani, 70, berkata, kerajaan PN tidak sepatutnya mencampuri urusan di Melaka.

Kekecewaan Mani membuatkan dia tidak ambil peduli tentang siapa yang patut membentuk kerajaan negeri. “Siapa pun yang menang, saya tidak kisah,” katanya.

Beliau juga tidak percaya kerajaan PN akan melaksanakan dasar itu melainkan PAS memainkan peranan yang kuat dalam kerajaan.

Larangan Kedah itu diumumkan pada Ahad oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaporkan berkata, Majlis Kerajaan Tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan premis perjudian. Sekatan juga dilaksanakan terhadap penjualan alkohol di kawasan permintaan rendah.

Keputusan itu dikritik kerana melanggar hak orang bukan Islam. MIC dan MCA berkata, keputusan itu boleh membawa mesej yang salah bahawa Malaysia menjadi lebih ketat dan menuju ke arah konservatisme.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.