Negara China pun haramkan judi, kata ADUN PAS

Negara China pun haramkan judi, kata ADUN PAS

ADUN Tanjung Dawai Hanif Ghazali turut meminta penjualan arak di Langkawi dihentikan.

ADUN Tanjung Dawai Haniff Ghazali berkata judi merosakkan institusi kekeluargaan. (Gambar Pejabat MB pic)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS hari ini meminta pihak yang menentang larangan operasi premis judi di negeri itu untuk melihat China, di mana perjudian telah diharamkan sejak 70 tahun yang lalu kerana menjadi penyakit sosial.

Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai) pada sesi perbahasan berkata, judi adalah sebahagian daripada budaya Cina sambil memaklumkan seseorang boleh melihat bagaimana China telah mengenakan sekatan ke atas aktiviti itu sejak 1949.

Hari ini, katanya, China hanya membenarkan perjudian di majlis perkahwinan, hari lahir dan acara lain yang lebih kecil dan di pusat perjudian di wilayah autonomi khas Macau dan Hong Kong.

Dengan perkembangan laman web perjudian dalam talian di Filipina, Beijing juga telah menghubungi Filipina, meminta negara itu untuk menamatkan aktiviti judi dalam talian.

Ketika mempertahankan keputusan kerajaan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan kedai judi, Hanif berkata sebagai seorang Muslim, seseorang itu mesti menyokong larangan terhadap semua bentuk pertaruhan dan permainan untuk mematuhi ajaran Islam.

“Tentunya apa yang kita boleh sebut dengan aktiviti tidak baik akan berlaku goncangan dalam rumah tangga melibatkan rumah tangga goncang.

“Bila di mana ketua kepala rumah terpaksa dapatkan duit untuk berjudi dia sanggup dapat dari ahlong, bayangkan anak dan isteri digadai oleh ayah untuk melunaskan hutang akibat dari aktiviti berkenaan” katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Hanif juga menyokong langkah kerajaan negeri untuk membendung penjualan arak di kawasan tertentu, mengatakan sekatan itu perlu diperluaskan ke Langkawi.

Beliau berkata, sekatan itu dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi melibatkan pelancong mabuk di pulau itu, hasil maklumat disampaikan oleh penduduk semasa lawatan kerja di sana.

“Bebasnya (nak beli arak) hinggakan anak-anak remaja budak-budak sekolah pun boleh dapat beli dan minum dengan bebas minum apa yang tak sepatutnya mereka minum,” katanya.

Beliau memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna ke-11 tertinggi alkohol, membelanjakan RM1.5 bilion untuk minuman itu setiap tahun.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu mengambil pengajaran aktiviti meminum arak di Australia dan Singapura.

Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan bahawa pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai perjudian dan menyekat penjualan alkohol di kawasan permintaan rendah, kecuali Langkawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.