
Tampil dalam satu program bual bicara bersama calon DUN Merlimau, Abd Alim Shapie, Nik Abduh dalam menyokong penutupan kedai nombor ekor di Kedah oleh kerajaan negeri pimpinan PAS menegaskan “benda buruk tidak boleh dijadikan hak asasi.”
“Tak boleh kita kata… benda yang merosakkan pun boleh jadi hak asasi, bukan macam tu. Hak asasi ini (sepatutnya) adalah perkara yang bawa kebaikan kepada semua.
“Jadi isu judi kena tegas, tak boleh.. sama ada orang bukan Islam apatah lagi orang Islam memasukkan hak berjudi sebagai hak asasi mereka kerana ia jelas judi bawa kerosakan,” tegas beliau dalam ceramah sempena pilihan raya negeri Melaka sebentar tadi.
Beberapa pemimpin politik, termasuk daripada MCA dan MIC yang menjadi rakan sekutu PAS dalam kerajaan persekutuan, serta DAP sebelum ini membidas tindakan Kedah yang tidak memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor di negeri itu.
Tindakan sama telah diambil di Kelantan dan Terengganu sebelum ini.
Naib Presiden MIC, T Mohan menyifatkan tindakan yang diambil oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor itu sebagai tidak menghormati hak penduduk bukan Islam.
“Kena hormat (hak bukan Muslim). Negara ini bukan (untuk) orang Islam saja. Yang bukan Islam pun ada. Kalau orang bukan Islam nak main judi, lepaskanlah. Kalau tengok Islam main judi, tangkaplah,” kata Mohan.
Bagaimanapun, Nik Abduh membayangkan, orang bukan Muslim juga harus dilarang berjudi sama sekali seperti penganut Islam.
“Kita didik masyarakat sedikit demi sedikit (dan) kita yakin lama-lama masyarakat akan terima terutama masyarakat non muslim yang tak setuju ini (judi dilarang),” kata beliau.
Nik Abduh tidak menyentuh bantahan MIC dan MCA terhadap penutupan kedai nombor ekor di Kedah, namun menyelar musuh ketat PAS, iaitu DAP.
“Saya sebenarnya kecewa dengan pimpinan DAP yang nampak bersungguh pertahankan hak berjudi bagi masyarakat bukan Islam.
“Bagaimana sebuah parti politik yang dibentuk untuk majukan negara tiba-tiba mempertahankan judi yang tak menambah sesen pun wang anda,” kata beliau.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sebelum ini mendakwa keengganan Kedah memberi lesen kepada premis judi bertujuan mengawal orang bukan Islam dan menafikan hak mereka.
“Sekiranya kerajaan negeri mahu melarang orang Islam pergi ke kedai-kedai judi saya tiada apa-apa yang boleh diperkatakan, tetapi kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan tiada hak untuk menafikan hak mereka yang bukan Islam untuk ke kedai judi,” katanya.