
Seorang penghuni Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia Metropolitan, Kepong yang mahu dikenali sebagai Wani memberitahu isu tersebut sudah selesai.
Wani, 36, yang juga seorang arkitek tinggal di Blok B, sementara keluarga kanak-kanak tersebut terletak di Blok A pangsapuri tersebut.
“Saya dengar-dengar keluarga itu sudah ditegur pihak pengurusan. Jiran ada juga yang mengecam dan ada juga yang pertahankan ibu bapa kanak-kanak berkenaan, mungkin mereka tak sedar anaknya tengah main kat luar (balkoni).
“Dengar-dengar juga, ada yang sudi biayai keluarga tu pasang ‘invisible grill’, tapi saya tak pasti siapa,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini tular di Facebook video berdurasi 33 saat yang memaparkan kanak-kanak perempuan ‘bermain’ di luar pagar balkoni rumahnya, sambil diperhatikan seorang lagi kanak-kanak yang lebih kecil.
Kanak-kanak perempuan itu sempat mengintai balkoni jirannya, sebelum berpatah balik.
Seketika kemudian, dia bergegas memanjat balkoni rumahnya dan masuk ke dalam rumah, seperti tiada apa yang berlaku.
Video itu dirakam penghuni dari Blok B, yang tidak diketahui identitinya.
“Memang terkejut (lihat video tular). Kita bayangkan anak kita panjat macam itu. Kita fikir, kanak-kanak itu, kalau terjatuh apa akan jadi? Bulan lepas (Oktober) banyak kita dengar insiden kanak-kanak jatuh dan meninggal kan?” katanya.
Menurut Wani, JMB pangsapuri itu membenarkan penghuninya memasang pagar namun mesti meminta kebenaran terlebih dahulu.
“JMB disana tak larang kita nak pasang pagar cuma kena minta kebenaran dan kena pasang sejenis yang kita panggil ‘invisible grill’. Harganya agak mahal daripada pagar biasa, dalam sekitar RM1,500. Tapi kita ada pilihan lain. Kita boleh pasang pagar biasa di pintu gelongsor.
“Rumah kanak-kanak itu pun pasang pagar, cumanya pada hari kejadian kita nampak (dalam video) pagar itu tak kunci. Mungkin kanak-kanak itu pandai buka sendiri,” katanya.
Warganet yang melihat video itu rata-rata bimbang akan keselamatan kanak-kanak terbabit dan menggesa ibubapa lebih peka dan memantau anak masing-masing.
Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mengambil tindakan segera bagi melaksanakan langkah keselamatan berkesan untuk melindungi kanak-kanak yang tinggal di bangunan tinggi.