Guan Eng gagal lagi pindah kes rasuah ke Mahkamah Tinggi

Guan Eng gagal lagi pindah kes rasuah ke Mahkamah Tinggi

Dua persoalan perundangan yang dikemukakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, kata panel tiga hakim.

Rayuan Lim Guan Eng ditolak kerana gagal memenuhi syarat pemindahan kes, kata panel tiga hakim.
PUTRAJAYA:
Lim Guan Eng sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk memindahkan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan dirinya ke Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dianggotai pengerusi Nor Bee Ariffin, serta Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah berkata, dua persoalan yang dikemukakan Lim telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi.

Che Mohd Ruzima, yang menyampaikan penghakiman, berkata, perbicaraan boleh kekal di Mahkamah Sesyen memandangkan mahkamah tertinggi telah memutuskan mengenai persoalan perundangan terbabit.

“Rayuan ditolak kerana perayu (Lim) gagal memenuhi syarat pemindahan kes (dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi),” katanya.

Semasa penghujahan pada 27 Okt, peguam Gobind Singh Deo berkata, pihak pembelaan mahu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan mereka kemudiannya membangkitkan isu perlembagaan mengenai tuduhan terhadap Lim di mahkamah tertinggi.

Beliau berkata, jika kes terowong dasar laut bermula di hadapan Mahkamah Sesyen, jalan terakhir bagi rayuan Lim adalah Mahkamah Rayuan.

Hanya kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Keputusan muktamad bagi kes yang dibicarakan di mahkamah rendah akan datang daripada Mahkamah Rayuan.

Gobind sebelum ini berkata, dalam kes banglo Lim, pihak pembelaan memenangi rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan tertuduh mengemukakan pernyataan pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Dalam kes itu, Lim didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli banglo daripada ahli perniagaan Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta. Lim dan Phang dibebaskan pada 2018.

Persoalan perundangan kedua adalah sama ada pihak pembelaan berhak mendapatkan kenyataan yang direkodkan pihak berkuasa semasa siasatan.

Dalam kes ini, Lim mahukan salinan kenyataan Pengarah Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bagi membolehkan pihak pembelaan memeriksa balas saksi dan menyediakan pembelaan.

Hari ini, Che Mohd Ruzima berkata, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan bahawa Seksyen 62 menepati perlembagaan, walaupun alasan bertulis tidak disediakan.

“Terdapat perintah walaupun tiada penghakiman, tetapi itu sudah memadai,” tambahnya.

Beliau berkata, Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan pihak pendakwaan mendedahkan maklumat dan dokumen atau laporan yang akan menjadi sebahagian daripada kes pendakwaan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga undang-undang kes yang mencukupi daripada Mahkamah Persekutuan bahawa pihak pembelaan tidak berhak mendapatkan kenyataan saksi.

Gobind memberitahu wartawan, beliau akan mendapatkan arahan daripada Lim, yang hadir di mahkamah, mengenai sama ada akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, perbicaraan di Mahkamah Sesyen akan disambung pada 29 Nov.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk meminta Zarul 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada projek jalan raya dan terowong.

Bekas Menteri Kewangan itu juga didakwa meminta sogokan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul menjalankan projek itu.

Beliau turut berdepan dua tuduhan menyeleweng tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.